Khamis, 8 Mei 2008

Mengenai Kampung Telok Bakong





Telok Bakung terletak di daerah Parit kira-kira 50 kilometer barat daya dari Ipoh. Telok Bakung merupakan tempat bersejarah dalam negeri Perak kerana sultan yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah, telah ditabalkan di Tanah Abang, Teluk Bakung. Ia merupakan pusat pemerintahan negeri yang pertama. Upacara ini berlaku dalam tahun 1528 dan disaksikan oleh ramai penduduk Perak. Tun Saban dan Tun Temong, dua orang pembesar yang mempunyai kawasan pemerintahan masing-masing di Perak telah menghadap baginda dengan membawa pelbagai jenis persembahan termasuk gajah. Hadiah-hadiah itu adalah pemberian rakyat di Hulu Perak dan Temong.


Tun Temong juga telah menghadiahkan tangkal azimat yang diberi nama “Geliga Embun” yang hingga kini masih menjadi alat kebesaran negeri Perak. Untuk membawa Geliga Embun ini, Tun Temong telah diiringi oleh 77 ekor gajah dari Hulu Perak. Sultan Muzaffar Shah memerintah Perak selama 21 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1549 dan dimakamkan di Tanah Abang dan kemudian dikenali sebagai “Marhum Tanah Abang”. Daripada keturunan Sultan Muzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan sultan negeri Perak hingga sekarang.


Tanah Abang adalah satu penempatan di Perak yang berbentuk teluk atau selekoh. Di tepian (tebing} nya terdapat makam Sultan Perak pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah.

Terdapat sebuah pulau yang agak besar bertentangan dengan Tanah Abang. Pada satu masa dulu sebelum terbina nya Hospital Changkat Melintang, kawasan berteluk yang juga membentuk selat ini diperairannya dipenuhi dengan sejenis ikan yang dipanggil ikan "Ikan Lomea". Airnya pada masa dulu berwarna kemerahan dan terdapat satu bungkah batu diperairan nya dan penduduk setempat mempercayai batu tersebut adalah gajah dan anaknya yang telah disumpah olih sang kelembai. Pada masa kini ikan Lomea ini telah tidak ujud lagi di Selat ini, mungkin disebabkan oleh limpahan air dari Hospital Changkat Melintang tidak sesuai bagi kehidupan ikan ini. Selat yang terbentuk memanjang dari Kampung Air Mati, Padang Changkat sehingga ke Pekan Teluk Bakong.




Sumber :

(a) Kesan sejarah dan tempat-tempat menarik : negeri Perak DArul Ridzuan, Mohamed Roselan Abdul Malek M 959.5114 MRA
(b) Perak Darul Ridzuan Roselan Abd. Malek M 959.5114 ROS




Tiada ulasan: